Barisan Nasional (BN) Pahang mengekalkan kemenangan kerusi Dewan Negeri (BN) Tioman selepas calonnya, Dato' Sri Johari Hussain berjaya memperoleh majoriti 573 undi.

PRU15 : DEWAN NEGERI TIOMAN KEKAL MILIK BN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

ROMPIN, 7 DISEMBER 2022 : Barisan Nasional (BN) Pahang mengekalkan kemenangan kerusi Dewan Negeri (BN) Tioman selepas calonnya, Dato’ Sri Johari Hussain berjaya memperoleh majoriti 573 undi.

Dato’ Sri Johari memperoleh 8,080 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim memperoleh 7,507 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly 784 undi, calon Bebas, Sulaiman Bakar 58 undi dan calon Pejuang, Osman A. Bakar sebanyak 79 undi.

SPR memaklumkan sebanyak 58.39 peratus daripada 28,108 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab itu di 17 pusat mengundi yang dibuka bermula pukul 8 pagi hingga pukul 6 petang tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rompin, YH. Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek telah membuat pengistiharan kemenangan calon BN dan pengumuman penuh PRU bagi DN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini selesai kira-kira pukul 9.30 malam.

Turut hadir meraikan kemenangan ialah YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan Exco serta kepimpinan setempat.

PRU bagi DN Tioman yang ditunda ke hari ini dari tarikh PRU15 yang dijalankan serentak pada 19 November lalu berikutan kematian calon kerusi Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi pada hari pengundian pilihan raya tersebut. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram