YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika meninjau tapak projek pemasangan lampu limpah dan bertemu anak muda di padang Kampung Kolam, Rompin

PERUNTUKAN RM1 JUTA PASANG LAMPU LIMPAH

Oleh : Fairus Mohd

ROMPIN, 6 DISEMBER 2022 : Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan keperluan rakyat untuk bersukan terutamanya penyediaan fasiliti yang bersesuaian.

Begitu juga keperluan kemudahan lampu limpah di padang Kampung Kolam di sini dengan peruntukan bernilai RM1 juta disediakan Kerajaan Negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia antara impian anak muda Rompin memiliki sebuah stadium mini yang lengkap dengan kemudahan untuk mereka melakukan aktiviti sukan dan riadah.

Kotraktor sedang memasang lampu limpah di padang Kampung Kolam, Rompin

“Membina sebuah stadium mini merupakan antara satu perancangan Kerajaan Negeri menambah baik fasiliti bagi meningkatkan aktiviti sukan dalam negeri ini.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja membina lampu limpah untuk memberi peluang kepada penduduk setempat untuk bersukan siang dan malam.

“Saya sendiri telah meninjau kerja-kerja sedang giat dijalankan. Ini peringkat awal usaha Kerajaan Negeri bagi memenuhi impian murni anak muda Rompin memiliki sebuah stadium mini tercapai,” katanya ketika meninjau tapak projek dan bertemu anak muda di sini.

Dalam pada itu beliau berkata, projek berkenaan secara tidak langsung akan menjadi tarikan pengunjung dan penganjur dari luar daerah.

“Padang ini akan menarik minat penganjur luar untuk datang ke Kuala Rompin sekaligus menaikkan aktiviti pelancongan serta merancakkan ekonomi penduduk setempat.

“Ia bukan hanya memberi faedah sehala kepada penduduk di sini malah mampu menyumbang juga dari pelbagai sudut yang membawa kelebihan kepada daerah Rompin sendiri,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram