Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 5 DISEMBER 2022 : Terharu dan bersyukur. Hanya itu mampu diluahkan oleh peneroka Felda Selendang 2, Encik Johari Ali ,73, apabila geran tanah yang dinanti sejak hampir 33 tahun akhirnya di genggaman.
“Alhamdulillah, syukur sangat sebab ini adalah satu penantian bagi peneroka-peneroka yang mana geran ini adalah satu tanda hak milik sebagai peneroka.

” Terima kasih Kerajaan Negeri khususnya kepada Menteri Besar Pahang yang memudahkan urusan kami semua,” katanya kepada media selepas hadir menerima Suratan Hak Milik Tanah yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di sini.
Seorang lagi peneroka, Encik Muhammad Khalid Abdul Rani, 56, berkata usaha Kerajaan Negeri ini memberi kegembiraan kepada semua peneroka terlibat.
“Rasa macam naik pelamin semula..rasa gembira sungguh, hajat selama ini tercapai walaupun dalam masa sama saya sedih mengenangkan kawan-kawan yang telah meninggal dunia.

“Alhamdulillah saya masih bernafas hari ini dan dapat juga memiliki (geran tanah) akhirnya,” katanya.
Bagi peneroka Puan Nazila Abdul Karim, 52, tiada apa yang mampu diucapkan selain rasa syukur kerana turut menanti selama 33 tahun bagi mendapatkan suratan hak milik tanah.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri terutamanya Menteri Besar Pahang kerana apa yang ditunggu-tunggu sudah kesampaian.
“Perasaan sukar digambarkan namun saya amat bersyukur dan memang gembira lah selepas lama menunggu saat ini,” katanya. -PAHANGMEDIA