YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka Kampung Sepayang di Rompin

AGROTOURISM PAYA LAKA JADI TARIKAN TERBARU DI ROMPIN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

ROMPIN, 5 DISEMBER 2022 : Projek Agrotourism Paya Laka di Kampung Sepayang di sini dijangka dapat menarik ramai pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan pemandangan sawah padi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) yang menelan belanja sebanyak RM5 juta ini akan disiapkan melalui dua fasa.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka Kampung Sepayang di Rompin

“Projek ini akan menarik ramai pengunjung dan pelancong kerana kita akan bangunkan resort di tengah-tengah bendang.

“Pengunjung dan pelancong akan dapat nikmati keindahan terutamanya ketika musim padi termasuk musim sedia untuk menuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka Kampung Sepayang di sini, hari ini

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Dato’ Suhaimi Mohd Yunus, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin serta barisan Exco Negeri Pahang.

Sementara itu, seramai 262 orang peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Paya Laka, dekat Sepayang, Rompin menerima ‘durian runtuh’ yang diumumkan hari ini.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang juga Pengerusi PKPP berkata, pembayaran bantuan khas kewangan itu dibuat PKPP melalui anak syarikatnya PKPP Agro Sdn Bhd.

“Kita ada sedikit keuntungan dan bagi bantuan kewangan sebanyak RM500 yang telah dimasukkan ke akaun 262 orang peserta RTK Paya Laka.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Saya berharap Bantuan Khas ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh tuan-tuan dan puan-puan dalam menjalani kehidupan seharian yang semakin mencabar ketika ini,” katanya.

RTK Paya Laka berkeluasan 324 hektar adalah kawasan sawah padi yang diusahakan sejak tahun 1995.

Projek agrotourism di kawasan berkenaan adalah hasil cetusan idea bekas Pengerusi PKPP, Dato’ Sri Hasan Ariffin dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Negeri (DN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.

Projek berkenaan yang mempunyai dua fasa itu akan dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan dan dijangka siap 12 bulan selepas proses tender selesai. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram