Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 02 DISEMBER 2022 : Pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kerajaan Pahang yang baharu merupakan satu amanah yang perlu digalas bagi memastikan negeri ini berada di landasan yang lebih baik.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelangai, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, pelantikan dirinya dalam barisan Exco Kerajaan Negeri adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Pertama sekali saya bersyukur kepada Allah SWT, dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Pemangku Raja Pahang yang telah berkenan untuk melantik saya sebagai Exco, begitu juga kepada YAB Menteri Besar Pahang.
“Memang saya muka baharu dan semestinya kita merasa agak terkejut dengan pelantikan ini sebab ada yang lebih lama lagi tapi takdir Allah.
“Saya berikrar sebagaimana sumpah yang saya nyatakan tadi (semasa Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco) untuk kita melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaik-baik yang mungkin untuk kebaikan Negeri Pahang sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco di Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Sementara itu, ADN Guai, YB. Dato’ Sabariah Saidan melahirkan rasa terharu dengan pelantikan dirinya sebagai salah seorang daripada dua exco yang mewakili wanita.
“Saya akan cuba sebaik mungkin bagi memastikan apa yang telah diamanahkan akan dapat kita lunaskan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut ADN Muadzam Shah, Encik Ir. Razali Kassim menyifatkan pelantikan sebagai exco Kerajaan Negeri sebagai satu tanggungjawab yang besar kepada dirinya.
“Saya rasa ini satu tanggungjawab yang besar kepada saya. Ini amanah yang besar yang perlu saya pikul kerana kita sedia maklum bahawa keputusan Pilihan Raya pada kali ini agak kurang menyebelahi kita tapi itu adalah kehendak rakyat dan kita perlu membuat rangka kerja yang lebih baik,” katanya.

Menurut ADN Peramu Jaya, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Najib melahirkan rasa bersyukur dan bertuah kerana dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya berharap, saya berdoa kepada Allah SWT agar saya dapat menjalankan tugas ini dengan baik, dengan amanah, dan dapat membantu dalam pembangunan negeri ini dan membawa kebaikan kepada negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA