Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 2 DISEMBER 2022 : Hanya suasana yang berbeza namun semangat untuk kembali bekerja demi kesejahteraan rakyat terus berkobar di dalam jiwa tiga orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang yang kembali dilantik hari ini bagi menggalas tanggungjawab berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Benta, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang ditemui menzahirkan rasa syukur di atas kepercayaan yang diterima sehingga mampu memegang jawatan Exco masuk penggal kelima ini.

“Alhamdulillah di atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang melantik kembali saya sebagai Exco.
“Ia adalah satu penghormatan kerana diberi kepercayaan dan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai Exco. InsyaAllah saya tidak akan sia-siakan dan membantu kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang dalam merencana serta melaksanalan segala perancangan demi pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco di Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Sementara itu, ADN Kerdau, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang masuk penggal ketiga sebagai Exco menyifatkan ia adalah satu amanah yang lebih besar bagi dirinya.
“Sekarang adalah situasi yang lebih mencabar kerana dalam keadaan parti BN menguncup (kerusi berkurangan) kita nampak rakyat nak tengok gabungan baru dalam membela hak mereka.
“Dulu mereka percaya kepada satu parti, tapi sekarang mereka nak tengok kita bekerjasama, jadi kita mesti pandai membiasakan diri dalam suasana dan cara bekerja yang baru,” katanya.

Bagi ADN Bebar, YB Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff turut senada mengakui bahawa situasi kini telah jauh berbeza dan kerjasama menjadi perkara utama dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.
“Saya amat berterima kasih di atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal kerana kembali dilantik sebagai Exco.
“Sudah pasti tanggungjawab yang diberikan adalah besar dan dalam suasana kini, dua parti perlu bekerjasama dengan baik bagi memastikan agenda yang dibawa mampu memberi manfaat kepada negeri dan rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA