Ahli Dewan Negeri (ADN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan hari ini

SEPULUH AHLI DEWAN NEGERI PAHANG ANGKAT SUMPAH EXCO

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

PEKAN, 2 DISEMBER 2022 : Seramai sepuluh orang Ahli Dewan Negeri (ADN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang di Istana Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco membabitkan lapan Ahli ADN daripada Barisan Nasional (BN) dan dua daripada parti Pakatan Harapan (PH) diadakan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pukul 3 petang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan hari ini

Kesemua Exco menandatangani surat pelantikan disaksikan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir YAB Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PH Pahang, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin serta YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang

Mendahului istiadat mengangkat sumpah itu adalah Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Razak (BN-Benta); Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN-Kerdau), dan Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (BN-Bebar) masing-masing pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini.

Diikuti lima lagi ADN iaitu Encik Ir Razali Kassim (BN-Muadzam Shah); Dato’ Mohd Nizar Najib (BN-Peramu Jaya), Dato’ Sabariah Saidan (BN-Guai) dan Encik Fadzli Mohamad Kamal (BN-Dong) merupakan lantikan baharu bagi jawatan berkenaan.

Turut tersenarai dua wakil rakyat gabungan parti dalam PH iaitu Encik Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) dan Puan Leong Yu Man (DAP- Triang).

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini menyaksikan Kerajaan Negeri tidak boleh dibentuk ekoran tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 22 daripada 42 kerusi DN Pahang.

BN menang 16 kerusi DN manakala PN 17 kerusi dan hanya lapan kerusi dimenangi PH.

Kerjasama antara gabungan PH dan BN menjadikan mereka mempunyai kerusi yang mencukupi iaitu 24 kerusi DUN di mana melepasi angka majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri. – PAHANGMEDIA

Senarai EXCO Pahang

1. YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak (Ahli Dewan Negeri Benta)

2. YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Ahli Dewan Negeri Kerdau)

3. YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Ahli Dewan Negeri Bebar)

4. YB Tuan Ir Razali Kassim (Ahli Dewan Negeri Muadzam Shah)

5. YB Dato’ Sri Johari Harun (Ahli Dewan Negeri Pelangai)

6. YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib (Ahli Dewan Negeri Peramu Jaya)

7. YB Dato’ Sabariah Saidan (Ahli Dewan Negeri Guai)

8. YB Encik Fadzli bin Mohamad Kamal (Ahli Dewan Negeri Dong)

9. YB Encik Sim Chon Siang (Ahli Dewan Negeri Teruntum)

10. YB Cik Leong Yu Man (Ahli Dewan Negeri Triang)

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram