Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Pahang kepada Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Balairung Seri, Istana Abu Bakar hari ini.

JANGAN POLITIKKAN ISU BANGSA DAN AGAMA – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 28 NOVEMBER 2022 : Isu bangsa dan agama tidak sepatutnya dipolitikkan terutamanya dalam negara yang hidup berbilang kaum dan agama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua wakil rakyat yang dilantik perlu menghayati dan berpegang teguh kepada lima prinsip rukum negara.

“Jangan kerana ideologi dan kepentingan politik, kita gadaikan pembangunan dan kemajuan yang telah mula kita rasa, sudah 65 tahun merdeka, kita seharusnya mula berlari laju dan bukan lagi merangkak mencari rentak. Jangan kerana politik yang tidak matang kita semua ke belakang,” titah baginda

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berangkat pada Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar hari ini.

Sementara itu, baginda juga berharap agar semua pihak mengamalkan prinsip kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau Environmental, Social and Governance (ESG) di negeri ini.

“Saya juga mahu barisan kepimpinan negeri yang baharu bergerak serentak bersama saya dalam usaha memelihara khazanah, serta mengurus tanah Negeri Pahang secara cekap dan berkesan.

“Kita harus bersyukur, Pahang sebuah negeri yang besar, kaya dengan pelbagai khazanah, serta sumber alam yang berharga… Semua khazanah ini haruslah kita jaga,” titah baginda.

Baginda menegaskan agar semua usaha yang dilakukan perlulah memikirkan kesan jangka panjang sekaligus mengelakkan sebarang implikasi yang merosakkan khazanah alam.

“Sekali lagi, saya tidak menolak pembangunan, namun ianya mestilah dilakukan dengan terkawal dan lestari. Carikan cara agar kita dapat menikmati kemajuan, hasil negeri meningkat, tetapi khazanah kita kekal terpelihara,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram