Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 28 NOVEMBER 2022 : Pelantikan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar Pahang buat kali kedua mampu membawa kesinambungan kecemerlangan yang telah dikecapi sebelum ini di bawah kerajaan yang diterajui oleh beliau.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal berkata, pelantikan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy disifatkan tepat waktunya apabila beliau telah berjaya mencapai kejayaan cemerlang apabila beliau memimpin Kerajaan Negeri pada penggal lalu.

Jelasnya, kejayaan tersebut memfokuskan kepada empat perkara utama iaitu kejayaan mengurangkan hutang negeri, peningkatan jumlah pelaburan ke Pahang, pencapaian kutipan hasil Kerajaan Negeri yang melebihi RM1 bilion dan kejayaan perlaksanaan program-program kebajikan yang berterusan di Pahang.
“Saya yakin disebabkan empat pencapaian utama inilah menjadi titik tolak atau indikator utama sehingga Dato Sri Haji Wan Rosdy dipilih untuk menerajui dan memimpin negeri ini sebagai Menteri Besar Pahang dan saya mendoakan semoga beliau terus sukses membangunkan negeri ini demi manfaat rakyat dan Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan
Sementara itu, ADN Padang Tengku, Dato’ Mustapa Haji Long turut melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy ketika memimpin Kerajaan Pahang pada penggal lalu yang berjaya membawa negeri ini ke era kemajuan yang membanggakan.

“Kita amat yakin dengan kepimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy kerana telah membawa Pahang ke era kemajuan yang begitu membanggakan dan kita harap pelantikan beliau untuk kali kedua ini pastinya akan meneruskan lagi perjuangan-perjuangan dan program-program yang telah dirancang untuk pembangunan negeri Pahang,” katanya.
ADN Chini, YB. Encik Mohd Sharim Md Zin juga sangat menyokong kesinambungan kepimpinan Kerajaan Pahang yang dibawa oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam meningkatkan pencapaian negeri pada masa hadapan.

Justeru, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Menteri Besar Pahang di atas perlantikannya bagi membawa misi dan visi demi pembangunan rakyat dan negeri.
“Pertamanya saya mengucapkan ucapan tahniah kepada YAB Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail apabila diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memilih Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bagi penggal DN15 ini, jadi saya mewakili ADN Barisan Nasional ucapkan tahniah dan bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana Dato’ Sri Haji Wan Rosdy terus dapat memimpin Negeri Pahang, maju terus Pahang, tiada janji lihat bukti,” katanya. – PAHANGMEDIA