Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 24 NOVEMBER 2022 : Penamaan calon bagi Dewan Negeri (DN) Tioman hari ini mencuri tumpuan ramai selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi DN lain di negeri ini telah pun selesai pada 19 November lalu.
Ia diadakan semula selepas calon kerusi Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Md Yunus Ramli meninggal dunia awal pagi pada hari pengundian pilihan raya tersebut.
Proses penamaan calon yang selesai pada pukul 10. 45 pagi hari ini menyaksikan pertembungan lima penjuru di kerusi DN Tioman yang sebelum ini disandang oleh calon BN, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain selama tiga penggal.
Beliau dicabar calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Ketua Muslimat PAS Cawangan Pianggu, Nor Idayu Hashim, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rompin, YH. Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek telah membuat pengisytiharan penamaan calon dan pengumuman penuh calon selesai kira-kira jam 10.45 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Disember ini sebagai hari pengundian awal DN Tioman manakala hari pengundian diadakan pada 7 Disember.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk pilihan raya itu mengandungi seramai 28,465 pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – PAHANGMEDIA