Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2022 : Kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan masih belum menemui nokhtahnya apabila sesi menghadap wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sawarak pada pagi tadi juga mendapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Sehubungan itu, Istana Negara dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja pada hari esok.
Kenyataan sama memaklumkan bahawa perbincangan khas berkenaan adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapat pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
Semalam, baginda telah berkenan menerima menghadap ketua-ketua Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional secara berasingan di Istana Negara sebelum proses sama dilakukan hari ini terhadap wakil Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sawarak, pagi tadi.
Proses berkenaan selaras dengan perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan bertujuan Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat baginda telah berjaya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. – PAHANGMEDIA