KUANTAN, 22 NOVEMBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk mengadap baginda esok.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, sesi menghadap itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi secara individu di Istana Negara.
Beliau berkata, proses itu bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan dibawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia Ke-10 selesai,” katanya.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda telah menitahkan ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghadap baginda di Istana Negara pada 4.30 petang tadi.
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tiba pada jam 4.05 minit petang manakala Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memasuki perkarangan Istana Negara pada jam 4.10 petang.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan dengan Seri Paduka Baginda memaklumkan bahawa setakat ini masih belum ada keputusan berhubung calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda menitahkan agar perlu ada kesepakatan dan kerjasama dari semua pihak untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan inklusif dari segala aspek termasuk ekonomi.-PAHANGMEDIA