Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 NOVEMBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghadap di Istana Negara pada 4.30 petang hari ini.
Seri Paduka Baginda mengeluarkan titah memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah menurut kenyataan media Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Raja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsudin.
Menurut kenyataan media tersebut Istana Negara hari ini telah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti polifik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak susulan daripada keputusan PRU15.
Dalam kenyataan media tersebut, ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik berkenaan turut mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 kepada Istana Negara sepertimana yang telah diminta dengan kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YBhg. Tan Sri Azhar Azizan Harun pada 20 November 2022.
“Lanjutan daripada penerimaan pencalonan nama Perdana Menteri tersebut, proses pengesahan calon Perdana Menteri yang memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah dilaksanakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Kendatipun begitu, setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara yang tersebut di atas,” ujar kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan yang sama, Seri Paduka Baginda turut menyeru dan menasihati seluruh rakyat untuk bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.
Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah. -PAHANGMEDIA