KUANTAN, 21 NOVEMBER 2022 : Istana Negara hari ini melanjutkan tempoh untuk menghantar akuan bersumpah (SD) dari parti-parti politik bagi membentuk kerajaan baharu kepada jam 2 petang esok, Selasa 22 November.
Titah perkenaan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan permohonan parti-parti politik kepada Istana Negara hari ini, kata Datuk Pengelola Bijaya Raja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsudin.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, baginda turut menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.
Dalam kenyataan sama, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).
Baginda turut meminta agar rakyat bersama-sama mendoakan agar proses pembentukan kerajaan baharu berjalan lancar demi kepentingan negara.
Titah baginda lagi, doa rakyat Malaysia diperlukan agar negara diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah. -PAHANGMEDIA