PRU-15 : HARI MENGUNDI DN TIOMAN PADA 7 DISEMBER

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2022 : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan hari mengundi bagi Dewan Negeri (DN) N.42 Tioman akan diadakan pada 7 Disember.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata tarikh baharu ini berhubung kematian calon Perikatan Nasional,Allahyarham Md Yunus Ramli.

“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini, 19 November 2022 (Sabtu) dan menetapkan bahawa satu PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang perlu diadakan semula. Oleh yang demikian proses pengundian di Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang, TIDAK AKAN DIADAKAN pada 19 November 2022 (Sabtu).

“Bagi maksud menjalankan PRU ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang, SPR telah membuat keputusan untuk menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut iaitu Tarikh Keluar Writ ,19 November 2022 (Sabtu); Hari Penamaan Calon, 24 November 2022 (Khamis); Hari Mengundi Awal, 3 Disember 2022 (Sabtu); dan Hari Mengundi, 7 Disember 2022 (Rabu),” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November 2022 sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022.

“Urusan permohonan undi pos bagi PRU ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang, dibuka daripada 19 November 2022 (Sabtu) dan ditutup pada 22 November 2022 (Selasa). Untuk permohonan undi pos bagi Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media), hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my, dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus P.091 Rompin.

“Bagi permohonan undi pos kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C Agensi / Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian (online). Untuk pertanyaan atau penjelasan lebih lanjut boleh hubungi Unit Pengurusan Undi Pos di talian 03-8892 7040,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut lagi, Pegawai Daerah Rompin telah dilantik oleh SPR bagi menjalankan proses PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman bersama enam Penolong Pegawai Pengurus dan dua pasukan penguatkuasa akan ditubuhkan.

“Bagi maksud PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang, Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).

“Bagi maksud Hari Penamaan Calon PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang pada 24 November 2022 (Khamis), calon-calon yang layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

“Manakala, bakal-bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang, hendaklah menyerahkan Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” menurut kenyataaan tersebut.

Menurut SPR, peruntukan sebanyak RM3 juta dianggarkan bagi menjalankan PRU-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman ini dengan 428 petugas akan dilantik.

“Manakala, sebanyak 17 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 52 tempat mengundi/saluran dan 2 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 2 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan. Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 19 buah dengan 54 tempat mengundi/saluran. PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM 3 juta.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober 2022. DPPR bagi PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang ini mengandungi seramai 28,465 orang pemilih yang terdiri daripada 28,200 orang pengundi biasa, 262 orang polis dan 3 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. DPPR bagi PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang dijadualkan akan mula dijual pada 23 November 2022 (Rabu),” menurut kenyataan tersebut. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram