Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengadakan lawatan kerja di Farmasi Koperasi Sungai Koyan 3, hari ini.

FARMASI BERNILAI RM400,000 DIBINA DI SUNGAI KOYAN 3

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

LIPIS, 18 NOVEMBER 2022 : Sebuah farmasi bernilai RM400,000 telah dibina oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) di Sungai Koyan 3 di sini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata farmasi ini dibina bagi memudahkan kira-kira 10,000 penduduk setempat termasuk masyarkat Orang Asli sekiranya memerlukan peralatan kesihatan dan ubat-ubatan.

“Pengerusi ANGKASA, Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah Abdullah telah berusaha bersama rakan-rakan yang lain untuk kita mengadakan penjualan peralatan keperluan untuk kesihatan.

“Ini memberikan kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan ubat seperti Panadol dan vitamin, semua ada di jual di sini.

“Jadi mereka (penduduk setempat) tidak perlu lagi pergi ke (bandar) Lipis atau ke (bandar) Raub, mereka boleh datang ke sini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Farmasi Koperasi Sungai Koyan 3, hari ini.

Beliau sebelum itu turut mengadakan Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Setempat di Pasar Pagi Kuala Medang dan Kampung Kuala Serau.

Menurut beliau lagi, pihak Agrobank juga telah menyediakan kemudahan mesin ATM di dalam kiosk Petronas bersebelahan dengan farmasi berkenaan bagi memudahkan urusan.

Beliau berkata pembinaan farmasi ini oleh pihak ANGKASA adalah bertujuan membantu penduduk di kawasan ini memandangkan kawasan ini tidak mempunyai farmasi sebelum ini.

Menurut Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah penduduk setempat yang merupakan ahli koperasi dapat menikmati potongan harga sehingga 20 peratus di farmasi berkenaan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram