Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go Sdn Bhg, Encik Affandi Mohd Isa menunjukkan teknologi satelit yang dipasang di Balairaya Kampung Berdut bagi memudahkan masyarakat Orang Asli di kampung itu mendapat kemudahan internet.

KERAJAAN PAHANG SEDIAKAN PERKHIDMATAN INTERNET SECARA PERCUMA KEPADA MASYARAKAT ORANG ASLI KAMPUNG BERDUT

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2022: Kerajaan Negeri Pahang melalui inisiatif pendigitalan PRISMA atau Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access telah menyediakan capaian Internet kolektif secara percuma melalui teknologi satelit kepada masyarakat Orang Asli Kampung Berdut, Kuala Krau, Temerloh.

Seorang kakitangan Pahang Go Sdn Bhg sedang menunjukkan cara mengakses internet kepada masyarakat Orang Asli Kampung Berdut.

Ketua Pegawai Eksklusif Pahang Go Sdn Bhd, Encik Affandi Mohd Isa berkata, dengan pelaksanaan inisiatif ini, satu lawatan mesra ke kampung itu telah diadakan pada hari ini yang bertujuan untuk menyantuni dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat Orang Asli setempat dalam menggunakan capaian internet yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

“Dengan pelaksanaan internet percuma ini, masyarakat Orang Asli di Kampung Berdut boleh mengakses internet sama ada untuk mendapatkan maklumat, pembelajaran, kandungan digital, membeli belah mahupun hiburan,” katanya kepada Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go Sdn Bhg, Encik Affandi Mohd Isa (dua kiri) bersama Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Shuhairi Abdul Ghani (kanan) dan Tok Batin Kampung Berdut, Batin Awang (dua kanan) kepada lawatan mesra yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang ke Kampung Berdut, Kuala Krau hari ini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Shuhairi Abdul Ghani; wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) Negeri Pahang, En. Shahrizal Husin; Tok Batin Kampung Berdut, Batin Awang serta wakil Pahang Go Sdn Bhd yang merupakan syarikat pelaksana yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi pelaksanaan projek ini.

Dalam pada itu beliau juga berkata, melalui inisiatif PRISMA ini, Kerajaan Negeri amat komited untuk menyediakan capaian internet secara percuma di 50 kampung yang telah dikenal pasti bagi memastikan manfaat digital dapat dinikmati bersama untuk rakyat Pahang.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram