Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2022 : Sebanyak 121 buah Rumah Pahang iaitu rumah kepada Generasi Baharu Felda sedang dibina melibatkan fasa pertama pembinaan di FELDA Bukit Sagu.
Timbalan Menteri Kewangan I yang juga penyandang Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata terdapat tiga fasa keseluruhan bagi projek Rumah Pahang ini.
“Projek Generasi Baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan untuk pembaikan atau pembinaan semula 300 buah rumah.
“Untuk fasa yang pertama adalah sebanyak 121 buah rumah dan insyaAllah projek ini telah bermula Ogos dan akan siap 15 bulan iaitu pada Disember tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Rumah Pahang Kepada Generasi Baharu Felda Bukit Sagu di Dewan Wawasan Bukit Sagu 2/3 hari ini.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda yang juga penyandang kerusi Dewan Negeri (DN) Lepar; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Puan Ismayati Ismail; dan calon DN Sungai Lembing, Dato’ Haji Umar Arbain Haji Dollah.
Beliau berkata fasa kedua dan ketiga Rumah Pahang ini akan dijalankan berdasarkan permintaan daripada orang ramai terutamanya penduduk di kawasan berkenaan.
“Fasa berikutnya, kita akan melihat demand daripada rakyat tempatan. Sekiranya ada demand, fasa kedua, ketiga kita akan teruskan.
“Dan buat fasa pertama ini, kita akan memfokuskan kelulusan kepada anak peneroka Felda Bukit Sagu terlebih dahulu,” katanya.
Kerajaan Pahang menjenamakan semula Projek Perumahan Generasi Kedua FELDA (PGBF) yang terbengkalai kepada Rumah Pahang pada September lepas setelah bersetuju mengambil alih projek berkenaan daripada pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). -PAHANGMEDIA