YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Pahang Perumahan Generasi Baru Felda di Felda Sungai Retang, di Jerantut

1,850 BUAH RUMAH GENERASI KEDUA FELDA TERBENGKALAI DIBAIKI SEMULA

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

JERANTUT, 11 NOVEMBER 2022 : Sebanyak 1,850 buah rumah di 10 buah tapak perumahan generasi kedua FELDA yang terbengkalai di negeri ini mula dibaikpulih melalui langkah penswastaan dan dijual pada kadar mampu milik menerusi projek Rumah Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tiga tapak perumahan berada di Daerah Jerantut dan semua perumahan terlibat dijangka siap dibaikpulih dalam tempoh kira-kira enam bulan dari sekarang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Alhamdulillah, kita dapat satu penyelesaian iaitu secara penswastaan. Kita telah muktamadkan harga rumah iaitu RM120,000 sebuah di atas tanah seluas 1,400 kaki.

“Perancangan telah lama dilakukan dan ia diteruskan walaupun Parlimen telah dibubarkan. Rumah ini khusus untuk generasi kedua FELDA dan kita harap ia dapat membantu mereka yang mahu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Pahang Perumahan Generasi Baru Felda di Felda Sungai Retang, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Md. Yunos dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang, Puan Ismayati Ismail.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Pahang Perumahan Generasi Baru Felda di Felda Sungai Retang, di Jerantut

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menyifatkan generasi kedua yang berjaya memiliki rumah ini adalah golongan yang bertuah.

“Mereka yang berminat boleh memohon kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang secara online dan permohonan telah mula dibuka hari ini.

“Terima kasih kepada pemaju yang tampil bersetuju menggunakan konsep private funder initiative dengan mengeluarkan modal untuk baiki rumah-rumah ini dan memperoleh pulangan kembali melalui pembayaran semula pembeli nanti,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram