YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika meninjau kemudahan ATM di Chenor.

PENDUDUK CHENOR GEMBIRA TERIMA KEMUDAHAN MESIN ATM

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

MARAN, 7 NOVEMBER 2022 : Kewujudan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sini nyata menggembirakan penduduk setempat yang sejak sekian lama memerlukan kemudahan ini.

Penduduk Kampung Baru Chenor, Encik Hasnan Kamaruzzaman, 63, berkata ia adalah satu pembangunan yang amat dialu-alukan dan dinantikan oleh penduduk setempat.

Encik Hasnan Kamaruzzaman.

“Bila ada kemudahan perbankan (ATM) ini, memang amat memudahkan kerana penduduk di sini agak ramai. Jika sebelum ini penduduk perlu ke Kampung Awah atau Temerloh untuk menggunakan perkhidmatan ATM, sekarang tidak lagi.

“Ini adalah perjuangan pemimpin setempat (Barisan Nasional) kerana beliau duduk di sini jadi beliau nampak apa yang diperlukan penduduk setempat dan mengusahakan apa yang perlu itu sampai berjaya,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Sementara itu seorang penduduk dari kampung sama, Encik Nordin Ismail, 59, juga turut menghargai jasa pemimpin setempat yang sentiasa berusaha untuk menyediakan keselesaan kepada rakyat.

Encik Nordin Ismail.

“Saya sendiri dah lama ‘idam’ mesin ATM di sini, jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada pemimpin yang mengusahakan kemudahan ini. Jadi penduduk sekitar di sini tidak perlu lah nak ke Kampung Awah atau Temerloh.

“Kemudahan ini turut boleh dimanfaat oleh ibu bapa yang ada anak di sekolah berasrama sekitar sini yang perlu keluarkan duit untuk perbelanjaan anak-anak. Terima kasih kami ucapkan,” katanya

Seorang penduduk di Taman Jaya Diri, Saubillah Kasim, 50, turut menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas kemudahan yang diterima penduduk di sekitar Chenor.

Saubillah Kasim.

“Lepas ni saya tak perlu ke kawasan lain untuk keluarkan duit, mesin ATM ada dekat saja dengan rumah.

“Alhamdulillah, terima kasih atas kepimpinan Barisan Nasional di negeri ini yang sentiasa mendengar keluhan dan rintihan rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram