Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
MARAN, 7 NOVEMBER 2022 : Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah wang bagi menyediakan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi kemudahan penduduk di kawasan Chenor.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ianya merupakan mesin ATM ketujuh di bawah program CSR oleh Kerajaan Negeri Pahang sejak tahun 2019.
Menurutnya, dua buah mesin telah dipasang di Koyan, daerah Lipis dan juga di Lapangan Terbang Kuantan melalui kerjasama dengan AGRO Bank dan Maybank sebelum diteruskan pada tahun 2020 melalui kerjasama dengan AGRO Bank, Maybank dan Bank Islam bagi kawasan Felda Chini, Pelangai dan Paloh Hinai.
“Nampak benda ni (ATM) ringkas tapi amat bermakna kepada penduduk di sini kerana sebelum ini mereka terpaksa ke Temerloh atau Kampung Awah untuk keluarkan duit jadi ia menyusahkan penduduk yang perlu menggunakan masa dan tenaga.
“Ini bukan terjadi begitu sahaja tetapi Kerajaan Negeri mengeluarkan sejumlah wang bagi memenuhi syarat yang diletakan oleh pihak bank bagi merealisasikan keperluan penting penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Pejabat Penghulu Mukim Chenor yang ditempatkan mesin berkenaan bagi kemudahan penduduk setempat.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy kemudian melancarkan pasukan bola sepak Tok Wan FC di padang awam Paya Ladang serta mengambil peluang beramah mesra dengan dengan anak muda setempat.
Beliau turut meluangkan masa menonton perlawanan persahabatan antara pasukan Tok Wan FC dan Combine FC yang terdiri daripada pemain gabungan kampung-kampung dalam kawasan Chenor. – PAHANGMEDIA