Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 3 NOVEMBER 2022 : Penerima bantuan komputer riba sumbangan Kerajaan Pahang sangat bersyukur dan gembira kerana menerima bantuan tersebut bagi mempermudahkan pembelajaran dan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Seorang penerima, Cik Khairunnisa Dayana Noor Jamaan, 18, berkata, beliau yang kini sedang menyambung pengajian Tahun Pertama di Kolej Profesional MARA, Indera Mahkota di Kuantan berterima kasih kerana diberikan komputer riba yang sekaligus dapat mempermudahkan urusan pembelajarannya.

“Saya menyambung pengajian Diploma Penerbitan Media Digital Kreatif KPM yang memerlukan kemudahan komputera riba yang mana sebelum ini saya hanya menggunakan komputer yang disediakan oleh KPM dan ini menyukarkan saya kerana terpaksa menghadkan tempoh penggunaan apabila terpaksa berkongsi dengan pelajar-pelajar lain.
“Jadi saya sangat bersyukur apabila menerima sumbangan komputer riba ini dan berharap dapat memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa yang berasal dari Bera, Encik Syamsul Qamar Mohd Arib, 47, berkata, beliau mewakili anaknya, Muhammad Fakhrul Hadi Syamsul Qamar, 20, menerima sumbangan komputer riba tersebut dan sangat terharu terhadap keprihatinan Kerajaan Pahang yang tidak pernah jemu menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat di negeri ini termasuklah golongan mahasiswa dan mahasiswi.
Muhammad Fakhrul Hadi kini menyambung pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam pengajian Sains Gunaan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang khususnya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di atas sumbangan komputer riba yang diberikan pada hari ini,” katanya.
Manakala seorang nenek, Puan Parvathy Achuthamarar, 64, berkata, dia sangat gembira kerana cucunya, Jayaakila Ragunathan, 19, merupakan antara penerima bantuan komputer riba sumbangan kerajaan negeri pada hari ini.

“Cucu saya baru sahaja menyambung belajar di Politeknik Pasir Gudang di Johor pada bulan Mac lepas dan saya sangat terharu apabila dia juga mendapat bantuan ini.
“Bantuan oleh kerajaan negeri ini tidak mengira kaum dan bangsa, semua orang pun boleh mendapat bantuan kerana kerajaan sangat prihatin,” katanya.
Kesemua mereka merupakan antara 33 penerima sumbangan komputer riba dan pencetak sumbangan Kerajaan Pahang dengan nilai keseluruhan adalah RM405,250 yang diadakan di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Selain bantuan peralatan pendidikan yang diberikan dari semasa ke semasa, Kerajaan Pahang juga telah menyediakan pelbagai insentif lain kepada para pelajar kelahiran Pahang termasuklah Pelajar Kebanggaan Pahang dan pemberian RM200 kepada setiap mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Pahang yang menyambung pengajian di IPTA dan IPTS di seluruh negara. – PAHANGMEDIA