Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan lima buah bot fiber berserta enjin kepada nelayan Orang Asli di Runchang.

NELAYAN ORANG ASLI RUNCHANG TERIMA BOT FIBER, ENJIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 31 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang memberikan sumbangan lima buah bot fiber berserta enjin kepada nelayan Orang Asli di Runchang.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata sumbangan ini bagi memudahkan dan menjamin keselamatan nelayan Black Water di Sungai Bebar.

“Demi memastikan nelayan sungai di negeri Pahang ini mampu meraih pendapatan yang lebih baik dan selamat ketika menyusuri sungai mencari nafkah untuk keluarga, saya telah menyampaikan lima buah bot fiber beserta enjin sumbangan Kerajaan Negeri Pahang untuk lima orang nelayan sungai masyarakat Orang Asli Kampung Runchang di bilik Gerakan DN Bebar.

“Saya mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan bot-bot tersebut kepada Pengerusi JPKKOA Kampung Runchang, Hafizan Hamzah, yang mewakili nelayan sungai di kampungnya.

“Saya memahami kesukaran nelayan sungai Orang Asli kita dan masalah yang dihadapi mereka ketika menangkap ikan di sekitar Sungai Bebar atau Black Water. Ada diantara mereka masih menggunakan dayung, tiada enjin dan mempunyai bot fiber yang bersaiz kecil,” katanya.

Beliau berkata atas dasar keperihatinan yang tinggi oleh Kerajaan Pahang melalui YAB Menteri Besar Pahang pemberian bot ini telah diluluskan.

“Kerana itu, YAB Menteri Besar Pahang meluluskan segera semua permohonan ini kerana beliau amat memahami dan memikirkan keselamatan nelayan sungai. Terima Kasih Menteri Besar Pahang kita. Malah bukan hanya nelayan sungai di Kampung OA Runchang ini namun nelayan di Kampung Temai, Tanjung Medang, Nenasi, Padang Rumbia dan lain-lain lagi turut menerima sumbangan bot dan enjin sebelum ini. Alhamdulillah.

“Sebuah kerajaan yang cakna, ambil berat, amat memahami dan tidak putus-putus menghulur bantuan kepada rakyat. Dengan hasil pendapatan negeri yang terus meningkat, lebih banyak bantuan kepada rakyat kini mampu diberikan. Tiada Janji Lihat Bukti. Nikmat ini harus kita syukuri sebagai rakyat Negeri Pahang,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga turut memberikan pelbagai sumbagan lain kepada penduduk di daerah ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM21,000.

“Saya turut menyampaikan sumbangan lain pagi ini yang juga diluluskan YAB Menteri Besar Pahang bagi tujuan pembelian aircond dan televisyen untuk kelas tadika, menaik taraf Bilik Interaktif SK Sultan Ahmad, sumbangan rawatan penyakit buah pinggang, dan sumbangan untuk program pembangunan potensi pelajar tingkatan 6 daerah Pekan (PPD) berjumlah keseluruhan hampir RM21,000,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram