Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 29 OKTOBER 2022 : Sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan bagi negeri Pahang sebagai persediaan dan juga menghadapi kesan Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai.
“Ia termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan, Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.
“Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), di sini hari ini.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta barisan Exco negeri Pahang.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sejumlah RM1.215 bilion akan dibelanjakan bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang.
“Ia termasuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW).
Selain itu katanya, sebanyak RM1 bilion disediakan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).
Jelasnya, fasa pertama akan dilaksanakan di Pahang melibatkan lapan lokaliti yang akan memanfaatkan 178 Ketua Isi Rumah (KIR).
“Ia adalah Kampung Bohor Baru dan Perkampungan Orang Asli Kuin/ Lengut di Bera, Kampung Kechau Tui di Lipis dan Kampung Lada di Jerantut.
“Seterusnya, Kampung Bolok di Temerloh, Kampung Pasir Panjang di Pekan, Kampung Orang Asli Chenan Cerah di Cameron Highlands, Kampung Langkap Lama di Rompin, dan Kampung Orang Asli Tungau, Pos Lenjang di Lipis,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri turut memaklumkan berkenaan peruntukan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang.
Menurutnya, usaha ini sekaligus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM572.8 juta diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang.
“Kita juga komited dalam melaksanakan Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang Kuala Krai, Kelantan ke daerah Bentong sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos projek RM 8.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026,” jelas beliau.
Menyentuh sektor pendidikan di Pahang, beliau berkata terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan akan dilaksanakan.
“Ia membabitkan kos RM 754 juta di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Tahun 2022.
“Sebanyak 13 buah projek telah siap sepenuhnya, 18 buah projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dan sembilan buah projek berstatus pra bina,” kata beliau. -PAHANGMEDIA