Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 28 OKTOBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah memiliki sifat keprihatinan yang tinggi kepada rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sifat keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda jelas mewarisi amalan terpuji Kesultanan Pahang sejak zaman berzaman.
“Sesungguhnya, keprihatinan tinggi serta kecaknaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku terhadap nasib rakyat jelata yang ditimpa musibah dan bencana, tiada tolok bandingnya.
“Beginilah umpamanya, sifat keperibadian unggul, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, yang jelas telah mewarisi amalan terpuji Kesultanan Pahang sejak zaman berzaman, yang begitu mengasihi dan mengambil berat soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Watikah Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Sumbangan Pertubuhan Palang Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) Negeri Pahang di Pusat Pemindahan Sementara Kampung Temai Hulu di sini.
Beliau berkata para penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah juga pastinya merasa gembira dengan kurniaan rumah tersebut.
“Patik yakin dan percaya, rakyat jelata yang menerima kurniaan rumah pada hari ini, pastinya merasa amat bertuah, berbesar hati serta menguntum senyum kegembiraan, atas anugerah yang cukup bersejarah dalam hidup mereka.
“Benarlah kata orang, Raja ibarat payung kepada rakyat. Menjadi tempat untuk rakyat menumpang teduh dan bersandar harap ketika susah dan ditimpa musibah,” katanya.
Beliau dalam persembahan ucapannya turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Pertubuhan Palang Merah UAE yang telah memberi sumbangan bagi pembinaan rumah berkenaan serta bantuan banjir kepada mangsa banjir di seluruh negeri ini.
“Bantuan daripada Kerajaan UAE telah meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir, sekaligus menyuntik harapan kepada mereka dalam menghadapi situasi tersebut. Perbuatan baik ini tidak akan kami lupakan dan menjadi bukti bahawa hubungan yang telah lama terjalin di antara kedua-dua negara dibina atas dasar keharmonian, toleransi dan perpaduan.
“Lebih-lebih lagi, hubungan istimewa yang terjalin di antara Seri Paduka Baginda Tuanku Agong dan Presiden Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan telah memberi manfaat kepada rakyat Pahang melalui sumbangan daripada UAE.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, sekali lagi, kami amat berterima kasih di atas keprihatinan dan kemurahan hati yang ditunjukkan oleh Kerajaan UAE dalam membantu rakyat Pahang,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Pahang juga telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir menjelang Monson Timur Laut tidak lama lagi.
“Memandangkan tidak lama lagi Monson Timur Laut dijangka melanda negeri-negeri di Pantai Timur, termasuklah di negeri Pahang, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku telah pun membuat persiapan yang rapi, bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir, atas nasihat, peringatan dan bimbingan Tuanku jua.
“Laksana sediakan payung sebelum hujan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku telah menyusun pelbagai langkah dan persediaan demi kepentingan rakyat. Antaranya memperkenalkan Dasar Pengurusan Bencana Negeri Pahang dan Disaster Data Bank Negeri Pahang bagi membantu pembuatan keputusan yang pantas dan betul, di peringkat daerah dan negeri, ketika berlakunya bencana.
“Kedua, memperuntukkan sebanyak RM47 juta, bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di negeri ini termasuklah melalui pembelian bot amfibia, pembinaan Pusat Pemindahan Banjir Kekal, pembinaan landasan pendaratan helikopter, pembelian instrumen sistem amaran awal banjir, pembelian bot menyelamat yang ditempatkan di Pejabat Penghulu, pelaksanaan projek pembaikan saliran dan cerun di kawasan risiko, serta penubuhan Unit Pengurusan Bencana Negeri Pahang.
“Dan ketiga, memperuntukkan sebanyak RM7.6 juta bagi tujuan pengurusan bantuan kepada mangsa bencana di seluruh negeri, selain menaikkan kadar apungan tabung bantuan bencana di setiap daerah, daripada RM20,000 ringgit kepada RM50,000 ringgit,” katanya.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Duta UAE ke Malaysia, YBhg. Encik Khalid Ghanim Alghaith; Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emeriah Arab Bersatu (UAE), YBhg. Dr Hamdan Musallam Al Mazrouei; dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Sebanyak RM12.175 juta diperuntukkan oleh Kerajaan UAE yang dibiayai oleh Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE bagi membina 123 buah rumah melibatkan tujuh daerah di negeri ini kepada mangsa terjejas banjir. -PAHANGMEDIA