Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang Sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emeriah Arab Bersatu (UAE) di Kampung Temai Hulu di Pekan.

KONTRAKTOR DIMINTA SEGERAKAN PEMBINAAN RUMAH KEPADA MANGSA BANJIR SEBELUM TIBA MONSUN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

PEKAN, 28 OKTOBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah meminta kontraktor supaya menyegerakan pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah sebelum Monsun Timur Laut tiba.

Baginda bertitah pembinaan rumah kepada mangsa banjir ini perlu dibina bagi memastikan penerima rumah dapat berpindah secepat mungkin ke rumah berkenaan.

“Saya harap pihak kontraktor berusaha untuk memcepatkan (proses pembinaan rumah), walaupun terpaksa berkerja dalam hujan, tolonglah bekerja. Supaya mereka dapat berpindah secepat mungkin.

“Saya berharap kepada pihak yang bertanggungjawab supaya dapat menyiapkan rumah ini secepat mungkin, buat sebaik mungkin, dan tidak buat secara ala kadar,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian semasa Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang Sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emeriah Arab Bersatu (UAE) di Kampung Temai Hulu di sini hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang Sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emeriah Arab Bersatu (UAE) di Kampung Temai Hulu di Pekan.

Baginda dalam titah turut mengingatkan para penerima supaya mengambil serius berkenaan moratorium selama 10 tahun yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri kepada rumah yang diberi.

“Kepada penerima-penerima semua rumah-rumah yang dikurnia oleh Kerajaan UAE dan Kerajaan Negeri untuk bersyukur terhadap pemberian ini.

“Dan saya harap apa yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar berkenaan moratorium (penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah) diambil serius.

“Jangan dah dapat rumah, soal nak jual rumah datang ke fikiran kita. Kalau boleh biarlah rumah ini sampai ke anak cucu. Harus bersyukur kerana bukan semua orang dapat rumah seperti ini,” titah baginda.

Baginda dalam titah turut berharap kawasan rumah baharu kepada mangsa banjir ini tidak akan ditenggelami banjir pada masa hadapan.

Baginda turut berkenan mengurniakan surat tawaran menduduki Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah kepada 12 penerima, replika cek bantuan peralatan rumah, dan sumbangan peribadi Seri Paduka Baginda dalam majlis berkenaan.

Sebanyak RM12.175 juta diperuntukkan oleh Kerajaan UAE yang dibiayai oleh Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE bagi membina 123 buah rumah melibatkan tujuh daerah di negeri ini kepada mangsa terjejas banjir.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Duta UAE ke Malaysia, YBhg. Encik Khalid Ghanim Alghaith; Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emeriah Arab Bersatu (UAE), YBhg. Dr Hamdan Musallam Al Mazrouei; dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram