Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 OKTOBER 2022 : Penerima-penerima cek sumbangan Kerajaan Pahang bersyukur dan terharu di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyalurkan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada rakyat di Pahang.
Seorang penerima, Encik Sazli Zulkipli, 32, berkata, beliau yang berasal dari Raub kini sedang menjalani rawatan perubatan mata di Hospital Kuala Lumpur (HKL) amat memerlukan kos perubatan yang tinggi.
Justeru beliau sangat terharu apabila permohonan bagi mendapatkan sumbangan untuk rawatan perubatannya diluluskan oleh Kerajaan Negeri.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa prihatin kepada rakyat Negeri Pahang dan saya bersyukur permohonan saya telah lulus dan hari ini penyampaianlah dan saya sekali lagi mengucapkan ribuan terim kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya kepada YAB Menteri Besar Pahang, terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, Kerajaan Pahang sememangnya prihatin terhadap golongan belia di negeri ini namun bantuan yang disalurkan adalah menyeluruh dan tidak hanya bertumpu kepada belia sahaja di mana semua pihak turut dapat menikmati sumbangan yang diberikan.
Jelasnya, sumbangan yang diterima oleh MBNP akan dimanfaatkan bagi persiapan para penggerak sukarelawan sekiranya Pahang dilanda bencana banjir pada penghujung tahun nanti.
“Alhamdulillah Majlis Belia menerima RM20,000 yang mana kita akan salurkan RM20,000 ini untuk program2 khusus semasa banjir nanti, atau pun digunakan untuk persiapan kami untuk menggerakkan sukarelawan2 banjir dan juga menggerakkan sukarelawan kita sepanjang bencana yang dijangka akan berlaku.
“Jadi sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri di atas sumbangan RM20,000 yang pastinya akan kita gunakan untuk memastikan penggerak masayrakat dan juga sukarelawan belia kita khususnya ketika banjir yang akan datang nanti,” katanya.

Bagi Puan Juliana Puling, 46, yang mengusahakan tanaman fertigasi cili dan penanaman hidroponik salad sangat gembira apabila menerima perkhabaran penerimaan cek sumbangan oleh Kerajaan Negeri ini.
Beliau bersyukur kerana sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebagai modal pusingan bagi perusahaan pertanian yang diusahakan ketika ini.
“Saya amat berterima kasihlah kepada YAB Menteri Besar Pahang sebab membantu saya untuk menyediakan modal pusingan untuk saya membeli peralatan yang lain, menambah kapasiti pokok, jadi saya sangat-sangat berterima kasihlah dan gembira,” katanya.
Kesemua 34 penerima telah mendapat cek sumbangan masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM948,679.30 yang telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Blok A, Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Antara bentuk sumbangan yang diberikan adalah pembiayaan kos rawatan perubatan, menyiapkan infrastruktur rumah rakit, menjalankan aktiviti persatuan dan NGO, pembangunan sukan dan tajaan pertandingan matematik oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIAM). – PAHANGMEDIA