YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelai di Dataran Masjid RTP Sungai Ular, Lipis

KERAJAAN PAHANG LULUS TANAH TAMBAHAN BAGI BINA PPK JELAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

LIPIS, 23 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang meluluskan tambahan tanah seluas 1.117 hektar bagi pembinaan bangunan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelai yang bernilai RM8 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bangunan ini merupakan pejabat pentadbiran yang lengkap bagi memudahkan urusan para peserta PPK.

“Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan seluas 2.5 ekar tanah tambahan kepada bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelai di Dataran Masjid RTP Sungai Ular, Lipis

“Yang mana PPK Jelai telah mendapat peruntukan lebih kurang RM8 juta untuk membina bangunan pentadbiran yang lengkap di mana selepas ini peserta-peserta senang berurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelai di Dataran Masjid RTP Sungai Ular di sini.

Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long.

Beliau berkata dengan pembinaan pejabat ini, para peserta PPK Jelai yang sebelum ini tiada satu pusat yang setempat akan lebih memudahkan urusan para peserta PPK.

“PPK Jelai ini adalah PPK bongsu di negeri Pahang, sebelum ini ahlinya berterabur. Ada di Merapoh, ada di Lipis, ada di Bukit Benta.

“Dan saya harap ianya dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada hujung tahun 2025. Saya telah minta dipercepatkan sedikit mungkin pertengahan tahun dan pihak LPP akan melihat perkara ini,” katanya.

Pada Februari lepas, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan tanah seluas 14 hektar bernilai RM17.09 juta bagi kegunaan PPK Jelai dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga mendapat peruntukan sebanyak RM3.5 juta bagi tujuan ini.

Dalam majlis sama, YAB Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM34,500 kepada para penerima serta dua buah traktor kepada Jabatan Pertanian Daerah Lipis. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram