Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 22 OKTOBER 2022 : Sebanyak 1,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera dengan kos keseluruhan bernilai RM234 juta akan dibina di daerah ini bagi golongan berpendapatan rendah khususnya golongan B40.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata projek bagi mencapai hasrat ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ ini merupakan satu manifestasi kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Pahang yang telah terjalin sejak sekian lama.
“…saya berbesar hati mengumumkan satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Projek PPR Bera bagi memenuhi keperluan tempat kediaman, untuk mereka yang berkelayakan dan berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah.
“Untuk makluman semua, Projek PPR Bera ini merupakan projek baharu yang telah diluluskan pelaksanaannya di bawah peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022.

“Projek perumahan ini akan dilaksanakan di Bandar 34, Parlimen Bera yang melibatkan pembinaan 1,000 unit rumah teres satu tingkat berserta kemudahan asas di atas tapak tanah milik Kerajaan Negeri seluas 90 ekar dengan harga RM45,000 seunit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bagi Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera, di Rejimen Ke-34 Artileri DiRaja (Kem Bera), hari ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Abdul Muttalib; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YBhg. Datuk M Noor Azman Taib; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abdul Rahim Muda; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazli Sulaiman; Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Brigedier Jeneral Khairul Izan Muhammad Suffian; dan Komander Garison Bera, Kolonel Haji Ayob Yahya.
Beliau berkata projek PPR Bera ini turut menyediakan 10 unit rumah bagi memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kerajaan juga tidak pernah melupakan kemaslahatan Orang Kurang Upaya (OKU). Sehubungan itu, Projek PPR Bera ini juga turut menyediakan 10 unit rumah untuk memenuhi keperluan golongan ini.
“Walaupun projek PPR ini adalah khusus untuk golongan berpendapatan rendah, Kerajaan sentiasa menitikberatkan keselesaan Keluarga Malaysia dengan memberikan penekanan kepada aspek saiz, reka bentuk, kualiti, lokasi dan harga rumah sentiasa diberi penekanan.
“Projek PPR Bera ini berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat dengan setiap unit rumah berkeluasan 750 kaki persegi, dilengkapi tiga buah bilik tidur, dua buah bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan langkan (yard),” katanya.
Tambah beliau, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan memberi bantuan daripada segi pemberian subsidi, manakala Kerajaan Negeri Pahang pula akan menyediakan tanah bagj merealisasikan projek ini.
Majlis Pecah Tanah PPR Bera ini merupakan kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memastikan pembangunan dan pembinaan perumahan mampu milik sentiasa tersedia.
Pembangunan Projek PPR ini adalah selari dengan agenda Kerajaan di dalam menyediakan dan memastikan 500,000 unit rumah mampu milik dapat disediakan di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.
Sehingga 31 Ogos 2022, sebanyak 156 projek PPR yang meliputi hampir 100,000 unit kediaman telah dibangunkan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM8.6 bilion secara keseluruhannya. -PAHANGMEDIA