Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 22 OKTOBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan.
Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sambutan HASN 2022 yang disambut pada setiap 21 Oktober setiap tahun masih mengekalkan tema ‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’ dengan slogan ‘Menyantuni Alam Sekitar dan Keluarga Malaysia’ bertujuan menyeru semua pihak untuk bersama-sama memulihara alam sekitar dan mencegah jenayah alam sekitar.
Sementara itu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sambutan HASN 2022 ini dapat menjadi manifestasi kesungguhan pelbagai pihak dalam menbudayakan kesedaran berkenaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di kalangan masyarakat.
“Selain itu, majlis ini juga adalah kesempatan terbaik untuk patik menjunjung setinggi-tinggi kasih atas segala komitmen Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku dalam agenda melestarikan alam sekitar di negeri ini.
“Baik dalam konteks amalan ekonomi yang mesra alam, mahupun pembangunan persekitaran kehidupan yang bersih, selamat dan berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Menteri Kewangan 1, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Sri Ir. Dr. Zaini Ujang, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin dan tetamu-tetamu kehormat.
Dalam ucapannya juga, beliau turut merumuskan tiga perkara penting dalam usaha Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam usaha melestarikan alam sekitar iaitu KDYMM sentiasa meminjamkan kebijaksanaan dan nasihat agar mengamalkan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) dan kedua ialah menambah keluasan Hutan Simpan Kekal dan Hutan Tadahan Air di Pahang.
Manakala rumusan ketiga pula ialah mewujudkan Hutan Taman Negeri Ketiga dengan penubuhan Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang sebagai melangkapkan rancangan-rancangan tersebut.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang prihatin terhadap usaha melindungi hidupan lliar terutamanya Harimau Malaya.
Pada majils Perasmian Sambutan HASN 2022 Peringkat Kebangsaan ini turut diadakan pertandingan mewarna, pertandingan reka cipta bahan kitar semula, pengumpulan buangan kitar semula, Kempen Hindari Plastik Sekali Guna dan sebagainya.
Selain itu terdapat juga kempen pengumpulan e-waste, Aktiviti KUDAH dan acara Gambut Run sejauh 5 kilometer yang akan disertai oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – PAHANGMEDIA