Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli merasmikan Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) di sini.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN RASMI KOMPLEKS MAAHAD TAHFIZ TURATH

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 21 OKTOBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli merasmikan Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) di sini.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika bercemar duli merasmikan Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) di Kuantan

Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, YH. Dato’ Saiful Edris Zainuddin, YB Pegawai Kewangan Negeri, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang (YP), YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.

MTTNP yang terletak di Perkampungan Balok Baru di sini telah wujud hasil kolaborasi pintar di antara PKPP dan YP bertujuan untuk menjadi sebuah institusi yang terkemuka di Malaysia dalam melahirkan ulama’ dan ilmuan Islam yang bukan hanya pada ilmunya, tetapi juga meliputi adab, tarbiah, tazkiah dan tarqiah dengan menguasai ilmu Turath.

Bangunan MTTNP sebelum ini merupakan sebuah pusat peranginan Muara Beach Resort yang telah diambil alih oleh PKPP untuk diubahsuai dan dijadikan Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang pada tahun 2015 dengan sumbangan RM10 juta bagi pengubahsuaian bangunan dan 3 ekar tanah selain geran tahunan RM700,000 setahun.

Manakala YP pula bertanggungjawab dalam pengoperasian dan biasiswa pelajar dan sehingga kini lebih RM5 juta telah dibelanjakan dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta setahun.

MTTNP mula beroperasi pada 2020 dengan purata pengambilan 25 pelajar setiap tahun dengan fasa 1 Kompleks MTTNP dapat menampung maksimum 125 pelajar, manakala fasa 2 akan bermula pada 2023 dengan peningkatan kapasiti jumlah bilangan pelajar seramai 300 pelajar.

MTTNP kini dalam proses mendapatkan Muadalah (akriditasi) dengan Universiti- Universiti Timur Tengah antaranya Mesir, Jordan, Morocco dan Arab Saudi bagi laluan pengajian pelajar. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram