WATIKAH PENGISYTIHARAN PEMBUBARAN DEWAN NEGERI PAHANG KE-14 DISERAH KEPADA SPR

Oleh: Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 OKTOBER 2022 : Yang DiPertua Dewan Negeri (DN) Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad hari ini menyerahkan Watikah Pengisytiharan Pembubaran Dewan Negeri Pahang Ke-14 kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Zamree Hamli, hari ini.

Penyerahan berkenaan dilakukan sejurus selepas pembubaran Dewan Negeri Pahang yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Pahang, pagi tadi.

Turut hadir menyaksikan penyerahan yang dilakukan di pejabat Yang DiPertua Dewan Negeri (DN) Pahang itu ialah Setiausaha Dewan Negeri (DN) Pahang, Encik Mohd Zukri Sidik.

YB. Dato’ Sri Haji Ishak berkata, Watikah Pengisytiharan Pembubaran ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bawah Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

“Dengan ini Dewan Negeri telah pun terbubar dan urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa pihak SPR untuk melaksanakan proses pilihan raya umum. Inilah proses yang kita lakukan setelah Dewan Negeri dibubarkan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram