YAB Menteri Besar Pahang Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika sidang media khas di Wisma Sri Pahang, hari ini.

PAHANG BUBAR DEWAN NEGERI PAHANG HARI INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 OKTOBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Dewan Negeri Pahang dibubarkan secara rasminya hari ini.

Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Waj Rosdy Wan Ismail berkata tarikh pembubaran ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan agar Dewan Negeri Pahang Ke-14 dibubarkan, berkuat kuasa pada hari Jumaat, 14 Oktober 2022, bersamaan 17 Rabiulawal 1444 Hijrah, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan.
 
“Tarikh ini dipilih, bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekaligus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan. Segala ini dilakukan demi kepentingan rakyat, kerana sebahagian besar intipati Belanjawan ini adalah berkisar tentang usaha membantu setiap lapisan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas berkenaan pengisytiharan pembubaran Dewan Negeri Pahang Ke-14 hari ini yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Pahang dan exco Kerajaan Pahang.

Beliau berkata keputusan membubarkan Dewan Negeri Pahang Ke-14 dan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diambil bersandarkan kepada beberapa keperluan.

“Pertama, mengelakkan proses dan musim pilihan raya yang berulang-ulang dalam tempoh yang singkat. Ini kerana, kurang setahun dari sekarang, penggal ini akan berakhir dan pilihan raya mesti diadakan. Sekiranya Pahang tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 sekarang, ia hanya akan menyebabkan kita terpaksa melalui proses pilihan raya sekali lagi di peringkat negeri kelak.
 
“Perkara ini sudah pasti memerlukan penggunaan sumber tenaga, masa dan fokus yang tinggi, dan ia boleh dielakkan sama sekali, sekiranya Pahang menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 bersama-sama Kerajaan Persekutuan sekarang.
 
“Kedua, Negeri Pahang memilih untuk turut serta dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan, kerana pilihan raya yang dijalankan secara serentak berupaya menjimatkan kos dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan dan pengendalian pilihan raya.

“Ketiga, permulaan dan pengakhiran penggal yang selari antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan melancarkan pelbagai urusan pentadbiran antara kedua-dua pihak. Ini sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri memberi fokus kepada agenda pengurusan dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurut beliau Kerajaan Negeri Pahang berpendurian wujudnya kewajaran dan keperluan untuk Negeri Pahang untuk turut menyertai PRU15 pada kali ini.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk menegaskan beberapa perkara susulan pembubaran ini.

“Pertama, sepanjang pentadbiran Barisan Nasional empat tahun lalu, Pahang telah merekodkan banyak pencapaian luar biasa. Pencapaian yang saya sifatkan ‘ground breaking’ dan ‘unprecedented’. Khususnya dalam aspek kutipan hasil yang berjaya melepasi nilai RM1 bilion, pencapaian membawa masuk pelaburan yang mencecah sehingga RM20.5 bilion, serta kejayaan mengurangkan 71 peratus hutang negeri iaitu daripada RM3.31 bilion kepada RM952 juta.
 
“Kedua, kesemua itu dicapai kerana wujudnya kestabilan politik dalam pentadbiran negeri Pahang, yang membolehkan kita merancang dan melaksanakan pelbagai agenda. Dalam Kerajaan Negeri Barisan Nasional, tiada ugut-mengugut dan tiada ancaman lompat-melompat. Yang ada hanyalah kestabilan dan kerjasama yang kuat antara satu sama lain.
 
“Ketiga, semua kejayaan yang dicapai selama ini tidak mungkin termeterai tanpa komitmen dan dedikasi semua pihak,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang, yang telah meletakkan kepercayaan kepada beliau serta Kerajaan Barisan Nasional untuk mentadbir negeri ini sejak 4 empat tahun lepas.
 
“InsyaAllah sekiranya mandat terus diberikan kepada kita dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan dijalankan tidak lama lagi ini, saya akan memastikan Barisan Nasional melakukan ikhtiar yang jauh lebih cemerlang, berbanding apa yang telah kami usahakan pada penggal ini.
 
“Harapan saya, semoga prestasi dan pencapaian cemerlang pada penggal ini, serta segala agenda menarik yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2023 minggu lalu, akan menjadi pertimbangan kepada semua pihak, untuk mengekalkan mandat Barisan Nasional sebagai pentadbir Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram