YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

DATO’ SRI WAN ROSDY SEBAK AKHIRI UCAPAN PENGGULUNGAN SIDANG DEWAN NEGERI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebak ketika menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak sepanjang penggal pertama beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang.

Kesempatan itu diambil pada sesi akhir ucapan Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau.

“Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi tuanku di atas perkenan melantik patik untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Pahang Ke-15, sekali gus membimbing, memberi nasihat serta tunjuk ajar kepada Patik selama ini.

“Sesungguhnya, kepercayaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke atas patik, sepanjang perkhidmatan patik sebagai Menteri Besar Pahang, amat dihargai dan disanjung tinggi,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada semua ahli dewan jika ada salah dan silap sepanjang empat tahun khidmat beliau sebagai Menteri Besar Pahang.

“Seperti yang semua sedia maklum, bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 akan berlangsung tidak lama lagi, dan persidangan ini merupakan persidangan kita yang terakhir pada penggal ini.

“Jesteru saya amat berharap, agar Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada kedua-dua belah pihak, yang berada di dewan yang mulia ini, sama ada dari parti Barisan Nasional mahupun pihak pembangkang, agar berlapang dada, bersiap sedia dari segi fikiran dan emosi, serta menerima hakikat, bahawa akan ada di antara kita, yang akan terpilih, dan tidak terpilih sebagai calon, untuk bertanding pada PRU-15 ini. Ia adalah ketentuan dan takdir Allah SWT,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram