Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 MEI 2020 : Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah menyumbangkan lebih 1,000 bungkusan hari raya kepada penyewa premis milik mereka hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Mohd Faizal Jaafar berkata sumbangan yang masuk tahun kedua ini adalah sebagai tanda penghargaan pihak PKNP kepada para penyewa di Kompleks Teruntum.
“Walaupun hari-hari kita berada di sini (Kompleks Teruntum) namun kita jarang berjumpa.
“Jadi, sebagai tanda penghargaan kepada penyewa-penyewa kita yang masih lagi setia dengan Kompleks Teruntum, kita bagi sedikit sumbangan walaupun nilainya kecil tetapi tanda ingatan itu yang kita nak beri kepada penyewa-penyewa kita,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan hari ini.
Beliau berkata sumbangan ini melibatkan semua penyewa di Kompleks Teruntum iaitu premis di menara dan kedai-kedai di dalam bangunan ini.
“Kita berikan sumbangan berupa kuih raya dan kad ucapan secara face to face (bersemuka) kerana bagi kita hubungan itu yang penting,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menyambut Hari Raya Aidilfitri secara berhati-hati bagi mengekang penularan COVID-19 ini. -PAHANGMEDIA