KUANTAN, 21 MEI 2020: Kawasan khas bagi penjaja dan penggerai akan disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan setiap daerah di lokasi yang bersesuaian.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, ia bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan dan kelengkapan berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri.
“Pada masa sama tujuan mewujudkan kawasan khas ini ialah untuk mengekang penularan wabak COVID-19 ketika orang ramai mulai sibuk membuat persiapan raya.
“Pihak PBT juga akan mengeluarkan Permit Sementara secara serta merta bagi membolehkan arahan tersebut berkuatkuasa sehingga hari akhir Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun katanya, pihak PBT berhak mengeluarkan perintah penutupan premis atau sitaan secara serta merta jika penjaja dan penggerai tidak mematuhi peraturan serta garis panduan yang dikeluarkan. – PAHANGMEDIA