Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang telah merekodkan 43,052.464 kilometer pendaftaran jalan negeri iaitu peningkatan lebih 100 peratus dalam sistem Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) pada tahun ini berbanding tahun 2018.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata Kerajaan Negeri telah menerima peningkatan peruntukan MARRIS sebanyak kira-kira tiga peratus sehingga 18 peratus setiap tahun.
“Sehingga kini jumlah panjang jalan negeri yang berdaftar dalam Sistem MARRIS adalah 43,052.464 kilometer pada 2022 berbanding 19,313.585 kilometer pada 2018.
“Untuk makluman, YAB Dato’ Sri Menteri Besar juga memberi penekanan yang serius soal keperluan peningkatan pendaftaran ini dan usaha berterusan oleh Kerajaan Negeri melalui agensi JKR, JPS dan PBT telah berjaya mengesan dan mendaftarkan jalan-jalan MARRIS melebihi sasaran 5,000 kilometer setiap tahun.
“Untuk rekod, Kerajaan Negeri menerima peningkatan peruntukan MARRIS dalam anggaran tiga peratus sehingga 18 peratus setiap tahun berikutan pertambahan pendaftaran jalan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata pendaftaran jalan di bawah sistem MARRIS juga dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman dalam melancarkan aktiviti ekonomi mereka.
“Para petani kecil serta penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman juga dapat melancarkan dan merancakkan aktiviti ekonomi mereka melalui pendaftaran jalan ini.
“Kita percaya masih ada ruang untuk kita tingkatkan pendaftaran jalan ini dengan kerjasama semua pihak. Sekiranya nampak ada jalan yang tidak diselenggara, tak kira jalan ladang atau jalan kampung, kita mohon sampaikan kerana kita bimbang masih ada jalan yang belum didaftarkan dan dapat mengadukan kepada pihak berkaitan bagi memastikan status jalan bagi memudahkan penyaluran peruntukan bagi kerja penyelenggaraan ,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri telah mengemukakan 137 permohonan projek cadangan untuk menaiktaraf infrastruktur jalan melibatkan RM35.691 bilion dalam Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe12).
“Permohonan cadangan projek naiktaraf dan bina baharu infrastruktur jalan ini adalah sejajar dengan Bajet 2023 Kerajaan Persekutuan di bawah Fokus Utama: Peruntukan Pembangunan; Stategi Kedua: Pembangunan Infrastruktur Negara; Agenda Ketiga: Bajet Reformis,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan RM5.89 juta bagi pelaksanaan projek pasca banjir melibatkan kerja penyenggaraan infrastruktur jalan, saliran dan cerun dalam pengurusan bencana infrastruktur jalan di negeri iniZ
Berkenaan pelaksanaan Projek Central Spine Road (CSR), beliau berkata sebanyak lapan projek CSR telah pun siap daripada 16 projek yang telah diluluskan.
“Status terkini perlaksanaan 16 bilangan projek CSR yang telah diluluskan di Negeri Pahang adalah lapan telah siap; tujuh dalam pembinaan; dan satu dalam peringkat perancangan (perolehan).
“Projek CSR ini bakal memberi impak positif kepada Wilayah Pahang Barat Plus serta lima sektor utama iaitu pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan di samping sektor perlancongan sedia ada serta menambahbaik jaringan perhubungan sosio ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA