Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG LULUS 52,707 UNIT RUMAH PRIMA PAHANG, RUMAH MAKMUR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang telah meluluskan 52,707 unit rumah melibatkan 138 projek PR1MA Pahang dan 25 projek Rumah Makmur Pahang setakat hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata Kerajaan Negeri kekal komited untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Negeri Pahang walaupun harga rumah meningkat di seluruh negara.

“Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan 138 projek PR1MA Pahang dan masih aktif yang melibatkan 44,803 unit rumah. Daripada jumlah ini, sebanyak 6,564 unit rumah telah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pembeli. Jangkaan saya pada akhir tahun ini kita akan mencapai sasaran rumah siap sebanyak 7,000 unit.

“Bagi Rumah Makmur Pahang, sebanyak 25 projek telah diluluskan melibatkan 7,904 unit rumah. Kerajaan Negeri akan terus mengekalkan dasar pelaksanaan kedua-dua rumah mampu milik ini pada tahun akan datang kerana ia mendapat permintaan yang tinggi dari rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini

Katanya lagi, hasrat Kerajaan Negeri membela nasib golongan miskin dan daif dalam pemilikan rumah menjadi agenda utama.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri telah menyiapkan dan menyerahkan sebanyak 231 rumah kepada peserta. Manakala, baki sebanyak 343 unit rumah sedang dibina dan dalam perancangan.

“Bagi cadangan penggunaan IBS untuk Rumah Rakyat Pahang, Kerajaan Negeri mengalu-alukan mana-mana pembekal atau pengilang yang ingin membuka kilang dan melabur dalam Negeri Pahang bagi memudahkan kontraktor-kontraktor tempatan turut memanfaatkan teknologi IBS dalam pembinaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM220,000 melalui belanjawan Negeri Pahang 2023 bagi pelaksanaan kajian-kajian rancangan pembangunan Negeri Pahang serta Rancangan Tempatan Daerah di Rompin, Maran dan Bera.

“Pada tahun ini sebanyak satu draf Rancangan Tempatan Daerah dan dua Draf Rancangan Kawasan Khas akan diwartakan setelah diluluskan oleh Mesyuarat MMK iaitu RTD Bentong 2035 (Penggantian), RKK Teluk Gading dan RKK Gugusan Pulau Tioman, Rompin,” katanya.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM320 juta iaitu 74.76 peratus daripada sasaran setakat 30 September lepas.

“Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Pahang telah menerima peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina dan membaikpulih fasiliti awam dalam Kawasan PBT di Negeri Pahang melibatkan 20 projek dan peruntukan MARRIS bagi menyelenggara dan menaiktaraf jalan-jalan di kawasan PBT sebanyak RM104 juta.

“Melalui hubungan baik antara Kerajaan Negeri Pahang dan Pihak Persekutuan sejumlah RM27.8 juta telah disalurkkan melalui Pihak Berkuasa Tempatan bagi melaksanakan projek baikpulih fasiliti awam, program pembasmian kemiskinan bandar (baikpulih rumah), projek pembangunan dan naik taraf Taman Awam, membina dan Menaiktaraf Gerai serta menaiktaraf kemudahan pelancongan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram