Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

SIDANG DEWAN NEGERI : INTERNET PERCUMA DI 50 KAMPUNG LUAR BANDAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang akan memberikan perkhidmatan internet percuma selama 12 bulan kepada 50 kampung luar bandar dan pedalaman di negeri ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia melibatkan projek Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access (PRISMA) yang dibiayai Kerajaan Pahang bernilai RM3 juta.

“Kerajaan Negeri Pahang juga telah turut serta membiayai projek perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit di 50 kampung luar bandar dan pedalaman.

“Projek yang dikenali sebagai PRISMA PAHANG ini yang bernilai RM3 juta akan memberikan perkhidmatan internet secara percuma untuk tempoh 12 bulan di lokasi berkenaan yang bermula pada bulan Oktober 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kadar liputan jalur lebar mudah alih (4G) bagi negeri ini juga telah meningkat sebanyak 28 peratus bagi suku kedua 2022.

“Kadar liputan jalur lebar mudah alih (4G) untuk negeri Pahang telah meningkat dari masa ke semasa daripada 65.6 peratus pada Suku Kedua 2018 kepada 93.59 peratus pada Suku Kedua 2022, iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus.

“Bagi liputan jalur lebar tetap pula telah meningkat dari 68,600 premis pada tahun 2018 kepada 103,000 premis pada suku tahun kedua 2022, iaitu pertambahan sebanyak 34,000 premis yang telah mempunyai akses jalur lebar tetap.

“Kadar ini dijangka akan terus meningkat apabila semua projek JENDELA Fasa 1 yang dilancarkan pada tahun 2020 bagi pembinaan menara baru dijangka akan siap secara berperingkat bermula penghujung tahun 2022 sehingga pertengahan tahun 2023 dan mencapai sasaran sebanyak 96.9 peratus,” katanya.

Menurut beliau lagi, bermula tahun 2018 sehingga kini, sebanyak 392 menara telekomunikasi baharu telah dibina di negeri ini serta kesemua pemancar sedia ada juga telah dinaiktaraf kepada rangkaian 4G.

“Bagi projek penaiktarafan rangkaian jalur lebar tetap, sehingga kini, sebanyak 88,144 premis telah selesai!dinaiktaraf manakala baki sebanyak 30,116 premis sedang dalam peringkat perlaksanaan dan akan selesai dinaiktaraf pada penghujung 2022,” katanya.

Beliau berkata bagi projek internet jalur lebar teknologi satelit pula, kesemua 69 Kampung Orang Asli (KOA) telah selesai sepenuhnya dipasang teknologi satelit ini pada bulan April 2022. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram