Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Seramai 1,146 sukarelawan berdaftar dengan Sukarelawan Kebajikan Daerah juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) bermodulkan kebajikan di seluruh negeri Pahang.
Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata sukarelawan ini akan digembeleng bagi menghadapi bencana banjir.
“JKM mempunyai sukarelawan yang berdaftar dengan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Daerah berjumlah 1,146 orang dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) bermodulkan kebajikan di seluruh negeri Pahang.
“Antara langkah-langkah Kerajaan Negeri melalui JKM untuk meningkatkan kemahiran sukarelawan dalam menghadapi bencana adalah seperti menganjurkan kursus dan taklimat berkaitan pengurusan sukarelawan sebelum, semasa dan selepas bencana; menganjurkan program simulasi berkaitan tugas sukarelawan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Menganjurkan Kursus Pengenalan Etika dan Profesionalisme Sukarelawan; menggalakkan sukarelawan berkolaborasi dengan syarikat korporat bagi mendapatkan sumbangan bantuan dan tenaga bagi membantu mangsa-mangsa bencana,” katanya.
Beliau berkata demkian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Haji Md Zain berkenaan persediaan kerajaan negeri menggembleng sukarelawan dalam menghadapi bencana banjir semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada ADN Bukit Ibam, YB. Datin Shamsiah Arshad berkenaan insuran kepada para sukarelawan, beliau berkata pihak Kerajaan Pahang dalam usaha menyelaraskannya bersama para NGO.
“Dari segi insurans, kita telah pun mengambil langkah ada NGO-NGO yang berkaitan, mereka mengambil insurans kelompok, ada yang tidak ada, tapi insyaAllah kita akan seragamkan dalam masa akan datang,” katanya. -PAHANGMEDIA