Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang telah menyediakan peruntukan sebanyak RM47 juta sebagai persediaan menghadapi banjir yang berlaku di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua ini adalah hasil perbincangan bersama Pegawai Daerah di seluruh negeri ini berkaitan isu banjir yang berlaku.
“Apa yang dibangkitkan Yang Berhormat Bilut tadi, kita dah buat dah. Yang pertama sekali Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM47 juta untuk persediaan menghadapi banjir.
“Antaranya ialah apabila kita membuat post mortem, kita minta tiga perkara iaitu punca banjir, semasa banjir, dan cadangan dan semua Pengerusi PKOB telah mengemukakan cadangan mereka.
“Dan tidak ada satu pun yang Kerajaan Negeri tolak, berjumlah RM47 juta. Antaranya ialah Pusat Pemindahan Kekal yang kita buat di Pekan, Maran, dan Lipis. Kemudian helipad yang sempurna yang mana sebelum ini kita dapati terputus bekalan makanan, tidak boleh dihantar. Kemudian kita beli bot amfibia, kita sediakan peruntukan dari segi latihan dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Ahli Dewan Negeri semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Sebelum itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, YB. Encik Lee Chin Chen mempersoalkan berkaitan persiapan yang secukupnya setiap musim tengkujuh supaya nyawa dan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
Beliau turut menjawab cadangan supaya Kerajaan Negeri menyediakan satu talian hotline bantuan bencana khas di setiap daerah di negeri ini bagi memudahkan bantuan disalurkan.
“Berhubung hotline, sekarang ini bilik gerakan sedang di renovate untuk naik taraf. Saya ingin memaklumkan apa yang dibangkitkan oleh ADN Bilut, Kerajaan Negeri dah pun ambil tindakan,” katanya. – PAHANGMEDIA