Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

SIDANG DEWAN NEGERI : 44 PERATUS GRADUAN TAJAAN YP DAPAT TEMPAT DI SEKTOR PEKERJAAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Sebanyak 44 peratus daripada 1,521 graduan tajaan biasiswa oleh Yayasan Pahang (YP) berjaya mendapat tempat di sektor pekerjaan selepas menamatkan pengajian masing-masing.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, 44 peratus lagi telah menyambung pengajian manakala hanya 12 peratus sahaja graduan tajaan YP tidak mendapat tempat di sektor pekerjaan.

“Peratusan tersebut adalah hasil daripada kajian penilaian program kursus tajaan Yayasan Pahang dan Halatuju Pelan Strategik oleh Institut Maklumat dan Analisa Pasaran Buruh pada tahun 2020.

“Yayasan Pahang telah menjalankan kajian dan membuat dapatan daripada kajian itu selain mengemaskini bidang-bidang yang wajar ditaja seperti bidang farmasi, kejuruteraan teknologi, ekonomi, kewangan islam, perakaunan, persijilan profesional, pertanian dan industri halal, pelancongan dan warisan, sains dan data kepintaran buatan, automasi dan robotik dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong berhubung biasiswa tajaan Yayasan Pahang pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Pahang menerusi Yayasan Pahang turut berganding bahu dengan pihak-pihak sekolah untuk memberi motivasi kepada anak-anak dan pelajar supaya mencapai kejayaan lebih cemerlang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram