Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan mengambil inisiatif penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu bekalan air menerusi Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Batu Balai di Jerantut yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan peruntukan sebanyak RM45.4 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini status perlaksanaan projek masih di peringkat awalan iaitu Fasa Terma Rujukan Perunding oleh pihak KPLB.
“Pelaksanaan projek ini dapat mengatasi masalah bekalan air dengan sepenuhnya bagi kawasan Batu Balai, Damak hingga ke Perlok dan Ulu Cheka sehingga ke Kampung Baharu di Jerantut.
“Untuk makluman, projek menaiktaraf LRA oleh pihak KPLB ini akan dilaksanakan dengan menaiktaraf loji daripada 7.5 juta liter sehari (MLD) kepada 12.5 MLD termasuk pembinaan muka sauk baharu, pam, tangki pembersih penapis, tangki imbangan menara baharu dan lain-lain di mana ianya dapat mengatasi masalah sumber yang tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.
Selain itu, cadangan pembinaan jajaran paip baharu sepanjang 27.5 kilometer turut akan dilaksanakan di dalam skop projek bagi sistem baharu, sambungan jajaran dan juga naiktaraf. – PAHANGMEDIA