YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat traktor untuk Jabatan Pertanian Negeri Pahang

KERAJAAN PAHANG BEKAL TRAKTOR BERNILAI RM3.45 JUTA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang membekalkan sebanyak 22 unit traktor termasuk 44 unit implement untuk Jabatan Pertanian Negeri Pahang bernilai RM3.45 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap daerah akan menerima dua traktor bagi setiap daerah kecuali daerah Cameron Highlands kerana faktor muka bumi yang tidak sesuai manakala dua lagi traktor akan diserahkan kepada Jabatan Pertanian.

“Saya berharap Jabatan Pertanian dapat menjaga (traktor) dengan baik kerana tujuannya jelas menunjukkan bahawa pertama kali dalam sejarah kecaknaan, keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap petani-petani apabila kita mendapati ada petani-petani sukar mendapatkan bekalan traktor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jentera (Traktor) Oleh YAB Menteri Besar Pahang kepada Pengarah Pertanian Negeri Pahang di perkarangan Wisma Sri Pahang di Kuantan, pagi tadi.

Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB Pegawai Kewangan Negeri, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri, YH. Dato’ Saiful Edris Zainuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Encik Muhd Rizal Baharom.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Kesemua traktor tersebut akan diberikan sewaan kepada petani-petani di daerah masing-masing bagi membantu membekalkan kemudahan traktor untuk menjalankan aktiviti pertanian.

Kerajaan Pahang memandang serius dalam memberikan kemudahan kepada petani dan pekebun dengan menyediakan mekanisasi terbaik menerusi Jabatan Pertanian Negeri Pahang.

Perkhidmatan pembajakan memberi kelebihan kepada 4,335 petani berdaftar melibatkan keluasan 11,714.64 Ha dengan lebih konsisten dan berkesan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram