YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

BUBAR DEWAN NEGERI : PAHANG TUNGGU PERKENAN KDYMM PEMANGKU RAJA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang masih menunggu perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi pembubaran Dewan Negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang masih lagi menunggu tarikh untuk mengadap KDYMM Pemangku Raja Pahang untuk perkenan pengisytiharan pembubaran Dewan Negeri selaras dengan Fasal 2 Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya tidak dapat tarikh daripada Tuanku lagi, masih belum dapat mengadap dan masih dalam proses,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jentera (Traktor) Oleh YAB Menteri Besar Pahang kepada Pengarah Pertanian Negeri Pahang di pekarangan Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kerajaan Negeri telah membekalkan sebanyak 22 unit traktor termasuk 44 unit implement untuk Jabatan Pertanian Negeri Pahang bernilai RM3.45 juta.

Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB Pegawai Kewangan Negeri, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri, YH. Dato’ Saiful Edris Zainuddin dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Semalam, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas mendapat perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram