Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM40.94 juta bagi pembangunan dan aktiviti perhutanan di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata langkah proaktif berkenaan diambil dalam setiap gerak-usaha pelestarian hutan dan alam sekitar melalui tujuh pendekatan oleh Kerajaan Pahang.
“Pertama, membudayakan Pemakaian Prinsip ESG. ESG atau Environmental, Social and Governance merupakan satu prinsip di bawah Susiainable Development Goals (SDG) yang mengangkat idea pembangunan dan aktiviti ekonomi secara mapan, beretika serta mengutamakan alam sekitar.
“Kedua, mewartakan Hutan Simpan Kekal. Negeri Pahang berbangga kerana sejumlah 22 peratus daripada jumlah keluasan Hutan Simpan Kekal di negeri ini dengan keluasan 355,000 hektar telah diwartakan sebagai kawasan Hutan Tadahan Air.
“Ketiga, menjayakan Inisiatif Pasaran Karbon. Selaku negara membangun yang mempunyai potensi pengurangan pelepasan karbon yang terhad, adalah penting untuk Malaysia mempunyai satu dasar khusus berkaitan pasaran karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Katanya lagi, pendekatan keempat adalah melakukan Kempen Penanaman 1 Pokok, 1 Warga Pahang yang merupakan kempen lima tahun sehingga 2025.
“Kelima, mengamalkan Pendekatan Pemindahan Fiskal Ekologi Untuk Pemuliharaan Biodiversiti. Melalui inisiatif ini, kita akan memperuntukkan sebanyak RM8.49 juta untuk diagihkan kepada jabatan-jabatan yang terlibat dalam aktiviti perlindungan dan pemuliharaan kawasan perlindungan.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan pelbagai program pemuliharaan hutan secara mampan seperti Pengekalan Sijil Malaysian Criteria & Indicator (MC&I) Natural Forest, Program Pemuliharaan Tasik Chini melalui Program Penghijauan dan Program Buy Back Guarantee bersama peserta tapak semaian orang Asli.
“Ketujuh, menubuhkan Hutan Taman Negeri Ketiga. Hutan yang terlibat adalah di sekitar Jajaran Gunung Berantai seluas 14,679 hektar yang meliputi beberapa kawasan menarik seperti Air Terjun Lubuk Kawah, Lubuk Yu dan Air Terjun Pelangi, dengan peruntukan RM1 juta,” katanya.
Sementara itu, kawasan seluas 1.98 juta hektar disediakan bagi penubuhan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.
“Selain memastikan pembangunan yang kita lakukan adalah lestari dan memberi manfaat kepada semua, Kerajaan Negeri mahu memastikan agenda pembangunan Negeri Pahang adalah seimbang di seluruh negeri, dan tidak hanya bertumpu di sesetengah kawasan. – PAHANGMEDIA