Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang akan menyediakan satu dana sebanyak RM10 juta bagi pensijilan halal di negeri ini secara dana pusingan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata dana yang akan disediakan melalui Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri bagi membantu mereka yang layak untuk mengembangkan skop pasaran.
“Satu dana secara revolving fund berjumlah RM10 juta akan disediakan melalui Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, bagi membantu mereka yang layak untuk mengembangkan skop pasaran sekaligus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap kualiti dan kesucian produk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan tapak niaga secara khusus kepada para usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta usahawan mikro.
“Dalam aspek penyediaan tapak misalnya, dua usaha khusus buat para usahawan IKS serta usahawan mikro telah digariskan iaitu pertama, satu tapak akan dibangunkan di atas kawasan seluas 60 ekar khusus untuk usahawan IKS dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM35 juta di daerah Bera.
“Kedua, mewujudkan Projek Pembinaan Usahawan di Taman Teknologi Pahang, Gambang, dengan peruntukan sebanyak RM3.4 juta,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut berhasrat meneruskan pembiayaan usahawan mikro Skim I-PUSH bagi membantu hampir 2,500 usahawan di seluruh Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
“Bagi memastikan para peniaga dan penjaja kecil baharu mendapat bimbingan serta sokongan yang sewajarnya, Unit Pemudah Cara Perniagaan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menyediakan khidmat nasihat percuma agar perniagaan boleh dimulakan dengan terancang, segera dan mematuhi peraturan. Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan dijadikan perintis projek ini.
“Akhir sekali, berikutan pertambahan penyertaan golongan muda yang menjadi agen dropship, Kerajaan Negeri akan menyediakan kursus percuma perniagaan secara atas talian melalui peruntukan berjumlah RM1 juta.
“Dengan rangkaian inisiatif ini, kita harap Negeri Pahang akan berupaya menyediakan satu ekosistem yang merangsang dan menyokong
pengembangan IKS dan keusahawanan mikro,” katanya. – PAHANGMEDIA