Gambar hiasan

BELANJAWAN PAHANG : PAHANG PERUNTUK RM19.75 JUTA BAGI INDUSTRI PELANCONGAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM19.75 juta bagi merancakkan industri pelancongan seiring dengan usaha strategik yang dijalankan.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata tujuh langkah utama ini akan menjadi tumpuan Kerajaan Negeri.

“Pertama, memajukan ekopelancongan sungai Pahang dengan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pembinaan enam buah jeti dan papan iklan di enam daerah persisiran sungai Pahang.

“Kedua, meneruskan penganjuran pelbagai program pelancongan bertaraf dunia seperti Pahang Ocean Paddle, Pahang Billfish International Challenge, Pahang River Cruise dan Pahang Barat Trail Run dengan peruntukan sebanyak RM9.1 juta.

“Ketiga, mewujudkan One Stop Centre untuk mendapatkan data penggiat pelancongan dengan peruntukan sebanyak RM150,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata langkah keempat adalah melibatkan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan secara berperingkat dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

“Kelima, membangunkan sektor pelancongan berasaskan flora atau perhutanan dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.

“Keenam, membangunkan Projek Perkampungan Al-Asar dengan peruntukan RM2 juta serta menganjurkan Pameran Pahang Craft & Textile Week dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

“Ketujuh, memberi latihan khas dan tauliah kepada penggiat industri pelancongan negeri seperti malim gunung, pemandu pelancong, jurumudi (boatman) serta juru alu dan caving/hiking guide, dengan peruntukan sebanyak RM500,000, serta menyediakan perlindungan insurans kepada kelompok ini dengan peruntukan RM300,000,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram