Gambar hiasan

BELANJAWAN PAHANG : TAMAN EKO RIMBA MOSSY FOREST & TASIK BERA AKAN DIANGKAT BAGI TERIMA PENGIKTIRAFAN UNESCO

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Taman Eko Rimba Mossy Forest dan Tasik Bera akan diangkat bagi mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia akan diangkat dalam program berasingan di bawah program Man and The Biosphere (MAB).

“Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang sedang berusaha menjadikan Daerah Lipis sebagai UNESCO Global Geopark.

“Di bawah program yang berasingan, dua tapak baharu iaitu Taman Eko Rimba Mossy Forest dan Tasik Bera, akan diangkat untuk mendapat pengiktirafan UNESCO di bawah Program Man and The Biosphere,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Pahang telah mengenalpasti 19 destinasi di bawah Tapak Warisan UNESCO, UNESCO Global Geopark (UGGp), Geopark Kebangsaan dan Geotapak.

“Namun, kebanyakannya masih memerlukan kajian dan penyelidikan yang mendalam. Untuk itu, sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan untuk tempoh lima tahun bagi menjalankan kerja-kerja kajian dan penyelidikan.

“Pahang mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Namun, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Tanpa promosi, semua kelebihan itu akan terus tersorok.

“Untuk itu, sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan bagi usaha-usaha menyerlahkan keistimewaan Pahang kepada dunia luar melalui aktiviti promosi pelancongan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram