Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Aspek kesihatan rakyat di negeri ini terus diberi perhatian termasuk keperluan klinik bersalin di beberapa buah kawasan di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, empat buah klinik bersalin akan dibina di Pulau Tioman, Selancar, Chendor dan Merapoh dengan kos RM8 juta.
“Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Program Berkhatan Anak Pahang melalui Jabatan Kesihatan Negeri untuk 3,500 orang anak lelaki golongan B40 yang berusia 12 tahun ke bawah dengan peruntukan RM1 juta.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Gerak Sihat Pahang dengan peruntukan sebanyak RM600,000.
Selain itu katanya, usaha memperluas program pemfluoridaan bekalan air awam di Loji Rawatan Air turut dilakukan melibatkan kos sebanyak RM1 juta sebagai langkah menjamin bekalan air bersih di negeri ini. -PAHANGMEDIA